
Demam panas pada bayi dan kanak-kanak adalah salah satu masalah kesihatan yang kerap dialami di Malaysia, dan sering menjadi sumber kebimbangan bagi ibu bapa.
Demam panas boleh berlaku akibat pelbagai faktor, termasuk jangkitan virus atau bakteria.
Bersama Klinik Dr Asmah, kita akan membincangkan secara lengkap punca, gejala, cara rawatan, dan langkah-langkah pencegahan demam panas pada bayi dan kanak-kanak.
Dengan memahami panduan ini, ibu bapa dapat menguruskan situasi demam dengan lebih baik dan memberikan penjagaan yang optimum kepada anak-anak mereka.
Apa Itu Demam Panas ?
Demam panas berlaku apabila suhu badan bayi atau kanak-kanak meningkat melebihi paras normal, iaitu sekitar 36.5°C hingga 37.5°C. Apabila suhu badan meningkat kepada 38°C atau lebih, ia menandakan tubuh sedang melawan jangkitan atau sebarang penyakit.
Walaupun demam adalah mekanisme pertahanan tubuh, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada anak dan kebimbangan kepada ibu bapa, terutamanya jika suhu badan meningkat terlalu tinggi.

Punca Punca Demam Panas pada Bayi dan Kanak Kanak
1. Jangkitan Virus
Jangkitan virus seperti selesema, influenza, atau hand, foot, and mouth disease (HFMD) adalah antara punca utama demam pada kanak-kanak. Virus ini biasanya tidak memerlukan antibiotik dan akan sembuh dengan sendirinya dalam masa beberapa hari.
2. Jangkitan Bakteria
Jangkitan bakteria seperti tonsilitis, jangkitan telinga, atau jangkitan saluran kencing juga boleh menyebabkan demam tinggi. Berbeza dengan jangkitan virus, jangkitan bakteria mungkin memerlukan antibiotik untuk membunuh bakteria yang menyebabkan demam.
3. Vaksinasi
Kadangkala, bayi dan kanak-kanak mungkin mengalami demam ringan selepas menerima vaksin. Ini adalah reaksi normal tubuh dalam usaha membina imuniti terhadap penyakit yang dicegah oleh vaksin tersebut.
4. Pendedahan kepada Cuaca Panas
Di Malaysia yang beriklim panas, kanak-kanak lebih mudah mengalami demam akibat terdedah kepada cuaca yang terlalu panas atau mengalami dehidrasi. Heatstroke atau serangan panas adalah keadaan serius yang memerlukan perhatian perubatan segera.
Gejala Demam Panas pada Bayi dan Kanak Kanak
𝐆𝐞𝐣𝐚𝐥𝐚 𝐮𝐭𝐚𝐦𝐚 𝐝𝐞𝐦𝐚𝐦 𝐩𝐚𝐧𝐚𝐬 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐛𝐚𝐲𝐢 𝐝𝐚𝐧 𝐤𝐚𝐧𝐚𝐤-𝐤𝐚𝐧𝐚𝐤 𝐭𝐞𝐫𝐦𝐚𝐬𝐮𝐤 :
- Suhu badan tinggi (melebihi 38°C)
- Menggigil atau berpeluh berlebihan
- Kurang selera makan
- Kelesuan atau mudah letih
- Pola tidur berubah dan kerap menangis ( buat perangai )
- Sakit kepala atau sakit badan (untuk kanak-kanak yang boleh berkomunikasi)
𝐆𝐞𝐣𝐚𝐥𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐞𝐦𝐞𝐫𝐥𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐡𝐚𝐭𝐢𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐠𝐞𝐫𝐚 :
- Suhu badan melebihi 40°C
- Kejang atau sawan demam
- Sukar bernafas
- Muntah atau cirit-birit berterusan
- Bibir atau kulit kelihatan pucat atau biru
- Anak tidak memberi respon atau kelihatan terlalu lemah
Cara Merawat Demam Panas Pada Anak Anda
Merawat demam panas pada kanak-kanak memerlukan langkah-langkah yang betul untuk memastikan anak selesa dan suhu badan mereka dikawal dengan baik.
1. Ubat – ubatan
Paracetamol atau ibuprofen adalah ubat yang biasa diberikan untuk menurunkan suhu badan. Pastikan dos ubat yang diberikan adalah tepat mengikut umur dan berat badan anak.
Nota Penting : Elakkan memberi aspirin kepada kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan Sindrom Reye, iaitu keadaan serius yang boleh menyebabkan kerosakan hati dan otak.
2. Minum Air yang Mencukupi
Pastikan anak anda mendapat air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.
Bayi yang menyusu harus terus diberikan susu ibu, manakala kanak-kanak yang lebih besar boleh minum air kosong, jus, atau sup.
3. Lap Badan dengan Air Suam
Mengelap badan dengan kain basah yang suam boleh membantu menurunkan suhu badan.
Elakkan menggunakan air sejuk atau ais kerana ini boleh menyebabkan kanak-kanak menggigil, yang boleh meningkatkan suhu badan.
4. Biarkan Rehat Secukupnya
Rehat sangat penting untuk memulihkan tubuh badan.
Elakkan aktiviti fizikal yang berlebihan semasa demam kerana ia boleh menyebabkan suhu badan meningkat.
Langkah-Langkah Pencegahan Demam Panas pada Bayi dan Kanak-Kanak
Mengambil langkah pencegahan boleh mengurangkan risiko demam panas pada bayi dan kanak-kanak.
Berikut adalah beberapa cara yang Klinik Dr Asmah cadangkan untuk diamalkan oleh ibu bapa :
1. Amalkan Kebersihan Diri
Ajarkan kanak-kanak untuk sentiasa mencuci tangan, terutama sebelum makan dan selepas ke tandas, untuk mencegah penyebaran bakteria dan virus.
2. Elakkan Tempat Sesak
Kurangkan pendedahan kanak-kanak kepada tempat-tempat sesak, terutamanya semasa musim penyakit seperti selesema.
3. Pastikan Anak Mendapatkan Vaksin yang Lengkap
Vaksinasi membantu melindungi kanak-kanak daripada penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan demam.
Pastikan anak anda mendapat semua vaksin yang disyorkan mengikut jadual imunisasi kebangsaan.
4. Makanan Seimbang dan Berkhasiat
Pemakanan yang sihat boleh menguatkan sistem imun anak, menjadikan mereka lebih tahan terhadap jangkitan.
5. Pengambilan Air yang Mencukupi
Pastikan anak anda minum air secukupnya, terutamanya dalam cuaca panas, untuk mengelakkan dehidrasi yang boleh menyebabkan demam.
Bilakah Perlu Membawa Anak ke Klinik atau Hospital ?
Membawa anak ke hospital adalah perlu jika demam berterusan selama lebih dari tiga hari atau jika mereka menunjukkan gejala yang membimbangkan seperti :
- Kejang atau Sawan
- Sukar bernafas
- Muntah berlebihan atau cirit-birit yang teruk
- Tanda-tanda dehidrasi (contohnya, tiada air kencing dalam tempoh lama, mulut kering)
- Terlalu lemah dan tidak aktif